Ajal dalam perjalanan ke tempat kerja

Motosikal ditunggang terbabas sebelum mangsa terperosok di bahagian tengah pembahagi jalan lebuh raya berkenaan.
Motosikal ditunggang terbabas sebelum mangsa terperosok di bahagian tengah pembahagi jalan lebuh raya berkenaan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 125 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Bertam di sini.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Mak Mandin dan terbabas sebelum terperosok di bahagian tengah pembahagi jalan lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang datang dari arah Sungai Petani menghala Sungai Dua.

"Apabila sampai di lokasi kejadian dipercayai motosikal terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Radzi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.