Banjir kilat: Pelajar lelaki cedera kena renjatan elektrik

Lokasi mangsa terkena renjatan elektrik di Giat Mara Sekinchan dalam kejadian banjir kilat pada petang Rabu.
Lokasi mangsa terkena renjatan elektrik di Giat Mara Sekinchan dalam kejadian banjir kilat pada petang Rabu.
A
A
A

SEKINCHAN - Seorang pelajar lelaki cedera apabila terkena renjatan elektrik di Giat Mara Sekinchan di sini selepas institusi kemahiran itu dilanda banjir kilat pada petang Rabu.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku selepas mangsa berusia 19 tahun memegang sebuah corong peniup di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru pada jam 2.08 petang.

"Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan Sungai Besar dikerah dalam operasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, pemeriksaan mendapati pelajar berkenaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik setelah kawasan Giat Mara itu dinaiki air setinggi 0.5 meter.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan lanjut.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan meminta pihak pengurusan premis menutup semua bekalan elektrik," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan keadaan kembali terkawal.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.45 petang tadi (Rabu)," katanya.