Konflik Rusia-Ukraine, Hungary isytihar darurat

Viktor Orban
Viktor Orban
A
A
A

BUDAPEST - Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban mengisytiharkan darurat sejurus selepas kerajaan baharunya mengangkat sumpah jawatan pada Selasa.

Darurat itu berkuat kuasa 12 tengah malam, 24 Mei.

Orban berkata, langkah itu bagi membolehkan kerajaan menggunakan semua sumber yang ada dan bertindak segera terhadap konflik yang sedang berlaku di Ukraine, lapor Xinhua.

"Dunia kini di ambang krisis ekonomi dan Hungary mesti menjauhi konflik Rusia-Ukraine. Kerajaan mesti melindungi keselamatan kewangan,” katanya.

Terdahulu pada Selasa, Parlimen Hungary meminda perlembagaan untuk membolehkan kerajaan memperkenalkan undang-undang khas dan mengisytiharkan perintah darurat andai berlaku konflik bersenjata, perang atau bencana kemanusiaan di negara jiran.

Undang-undang itu diluluskan dengan 136 undi menyokong manakala 36 lagi membantah.

Perlembagaan yang dipinda itu bagi memastikan keselamatan penduduk dan aset mereka, serta kestabilan ekonomi negara.

Mahkamah Perlembagaan, apabila diminta, mesti menyemak semula langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan. - Bernama