Tiada lagi pondok telefon awam di New York

Sebuah pondok telefon awam berbayar diangkut ke tas sebuah trak untuk dihantar ke sebuah muzium di bandar raya New York pada Isnin. - Foto AFP
Sebuah pondok telefon awam berbayar diangkut ke tas sebuah trak untuk dihantar ke sebuah muzium di bandar raya New York pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Dua pondok telefon awam berbayar akhirnya menamatkan operasinya pada Isnin di bandar raya New York apabila ia diangkut dengan trak untuk dihantar ke sebuah muzium.

Pondok telefon awam itu menjadi 'mangsa' perkembangan teknologi telefon bimbit yang penggunaannya mulai berkembang di bandar raya tersebut sejak awal tahun 2000 lagi.

Ia juga menjadi mangsa kepada kemudahan wi-fi percuma yang ditawarkan kepada para pengguna di New York.

Setiap sebuah pondok telefon itu menyediakan dua buah telefon awam yang berbayar.

Dua pondok telefon awam berbayar itu terletak di 7th Avenue dan 50th Street Manhattan itu ditanggalkan oleh pekerja pembinaan dan diangkut ke atas treler untuk dihantar ke Muzium Bandar Raya New York sempena pameran yang berjudul Bandar Raya New York sebelum Komputer.

Majlis memindahkan telefon itu disaksikan oleh Presiden Majlis Perbandaran Manhattan, Mark Levine dan sejumlah wartawan.

Menurut ciapan Levine di Twitter, beliau mengucapkan 'Bye-bye' buat kali terakhir kepada telefon berbayar di bandar raya New York itu.

Telefon awam berbayar itu juga terkenal kerana ia pernah disiarkan dalam komik 'Superman' pada lewat tahun 1942.

Dalam komik itu, pondok telefon awam berbayar telah digunakan oleh seorang wartawan, Clark Kent untuk menanggalkan pakaiannya dan menjadi 'Superman' iaitu watak adi wira yang terkenal di dunia.

Telefon berbayar itu juga kerap disiarkan dalam adegan-adegan filem Hollywood. - Agensi