Pemandu van buat pusingan U di lebuh raya tiada lesen
KOTA TINGGI- [DIKEMAS KINI] Tindakan pemandu sebuah van dikatakan membuat pusingan U mengakibatkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), di Kilometer 59.7 Lebuhraya Senai-Desaru di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan kira-kira jam 2.55 petang itu dipercayai berlaku setelah pemandu van merupakan seorang lelaki warga asing membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.
Katanya, tindakan itu menyebabkan pemandu SUV dari arah Senai ke Desaru tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian di tengah sebelah kiri van terbabit.
"Pemandu van berusia 33 tahun itu yang selesai membuat kerja pemotongan rumput di kawasan tersebut telah membuat pusingan U kerana hendak bergerak ke Kilometer 60 Lebuhraya Senai-Desaru untuk meneruskan kerja pemotongan rumput.
"Akibat kemalangan itu, pemandu SUV iaitu seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan di mulut dan lebam di kedua-dua tangan, manakala penumpang iaitu anaknya berusia dua tahun hanya mengalami calar di pipi, dahi dan lebam di mata sebelah kiri.
"Pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Isnin.
Hussin berkata, pemandu van terbabit telah diambil keterangan dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 13 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN166/59).
"Saman telah dikeluarkan ke atas pemandu van terbabit kerana tidak mempunyai lesen memandu," ujarnya.
Sebelum itu tular video durasi 32 saat memaparkan kenderaan dipandu wanita terbabit melanggar sebuah van yang membuat pusingan U di Lebuhraya Senai-Desaru.