[VIDEO] Inflasi makanan di Malaysia dijangka meningkat: MIDF

Inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.
Inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata, sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.

"Inflasi makanan global kekal tinggi terutamanya harga jagung, bijirin dan sayur-sayuran.

"Bagaimanapun, kami berpendapat tekanan inflasi secara keseluruhannya akan kekal stabil berikutan inflasi bahan api yang berada dalam aliran penurunan,” katanya dalam satu nota ekonomi pada Isnin.

Menurut bank pelaburan itu, penyusutan inflasi bahan api tersebut akan menampung kenaikan inflasi makanan dengan mengandaikan kerajaan mengekalkan had harga semasa minyak RON95 dan diesel.

"Dalam laporan kami ‘Oil Exports Rebound & Inflation Concerns,’ kami telah mengunjurkan bahawa inflasi keseluruhan Malaysia akan kekal di bawah 3.0 peratus biarpun sekiranya purata inflasi makanan pada +5.0 peratus manakala harga bahan api semasa pada paras sedia ada.

"Namun, jika purata inflasi makanan melonjak kepada 10.0 peratus, purata inflasi keseluruhan akan berada pada 4.6 peratus,” katanya.

Menurutnya, dalam senario buruk, purata inflasi keseluruhan diunjurkan pada 8.9 peratus sekiranya kerajaan memilih untuk mengapungkan harga bahan api manakala purata inflasi makanan pada 10.0 peratus. - Bernama