[VIDEO] Warga Myanmar cuba culik kanak-kanak empat tahun ditahan

Lelaki warga Myanmar ditahan polis selepas cuba menculik kanak-kanak berusia empat tahun di Batu Tiga, Jalan Gambang pada Ahad. - Foto ihsan FB Wkof
Lelaki warga Myanmar ditahan polis selepas cuba menculik kanak-kanak berusia empat tahun di Batu Tiga, Jalan Gambang pada Ahad. - Foto ihsan FB Wkof
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas dipercayai cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang bermain di hadapan rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang di sini.

Dalam kejadian jam 9 pagi Ahad, suspek yang berusia 30 tahun berjaya ditahan di tepi jalan berdekatan Pusat Dagangan Batu 3 di sini oleh orang awam selepas melihat bapa mangsa mengejar lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi didapati suspek telah diberkas oleh orang awam dan bapa mangsa.

“Suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini (Isnin).

"Turut dirampas bersama suspek ialah sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 atas cubaan melarikan orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Sebelum itu, Wan Zahari memaklumkan bapa mangsa yang merupakan seorang penjual ketam nipah membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa bermain pasir di hadapan rumah manakala ibunya pula menyiram pokok bunga di halaman.

Tambahnya, bapa mangsa mendengar bunyi jeritan isterinya yang mengatakan anak bongsu mereka dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

"Susulan itu, bapa mangsa bertindak mengejar suspek.

“Dengan bantuan orang ramai, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Zahari menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

@sinarharianonline Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi elakkan perkara tidak diingini berlaku #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews original sound - Sinar Harian