X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

MAFI segerakan penilaian pemberian subsidi ayam

MAFI memaklumkan, proses penilaian pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) kepada penternak yang mengemukakan permohonan sedang disegerakan. Foto hiasan 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan, proses penilaian pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) kepada penternak yang mengemukakan permohonan sedang disegerakan.

Menurut MAFI, penternak yang memenuhi syarat dan mendapat kelulusan pembayaran memperoleh tuntutan dalam tempoh yang telah dijanjikan.

"MAFI memandang serius isu yang mengancam sekuriti makanan negara dan sentiasa berusaha dengan pihak berkepentingan dalam menstabilkan kembali bekalan.

"Ini bagi menjamin bekalan ayam mencukupi untuk keperluan negara sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, MAFI berkata, hasil pemeriksaan dilakukan JPV terhadap pihak syarikat ladang ayam yang dilapor menghentikan operasi kerana ayam di ladang belum mencapai berat jualan akibat masalah penggemukan ayam terjejas mendapati laporan itu kurang tepat.

Ujar MAFI, pihak syarikat ladang ayam terbabit telah memberikan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam ‘super’, ayam ‘standard’ serta keratan ayam.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh JPV juga mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam.

"Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada dalam kalangan ladang-ladang ayam menghadapi masalah kenaikan berat badan ayam yang terganggu akibat kualiti dedak makanan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca panas yang melampau turut mengganggu pembesaran ayam di ladang terutama reban sistem terbuka.

"Ini telah memberikan kesan kepada bekalan ayam di kawasan-kawasan tertentu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!