Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan dikemuka kepada Peguam Negara

Kenyataan SPRM mengenai siasatan kes melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Kenyataan SPRM mengenai siasatan kes melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan kes melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut SPRM, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei 2022 untuk kajian dan arahan selanjutnya.

"Siasatan bermula sejak Mac lalu telah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur yang ditetapkan.

"Sehubungan itu, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya,"menurut SPRM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Siasatan terhadap Mohd Nazlan dimulakan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Hakim Mohd Nazlan telah membuat satu laporan polis pada 21 April berhubung artikel berita disiarkan portal berita mendakwa beliau sedang disiasat berhubung pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Mohd Nazlan menafikan "tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat" yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan.