Raja Muda Perlis luang masa dengan alumni PALTUM

Tuanku Syed Faizuddin bersama Tuanku Lailatul Shahreen (tengah) bergambar bersama delegasi dari PALTUM di Gelanggang Woodball Majlis Perbandaran Kangar (MPK), baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin bersama Tuanku Lailatul Shahreen (tengah) bergambar bersama delegasi dari PALTUM di Gelanggang Woodball Majlis Perbandaran Kangar (MPK), baru-baru ini.
A
A
A

KANGAR - Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM) menunjukkan sokongan solidariti dan simpati terhadap mangsa dan ahli keluarga mereka yang terlibat dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Kesemua mereka memakai baju ‘All Blacks’ berwarna hitam putih bertemakan negara New Zealand sepanjang lawatan selama dua hari ke Perlis, baru-baru ini.

Peserta lawatan ini turut berkesempatan menyertai Woodball Solidarity anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang diadakan di Gelanggang Woodball Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Dataran Sheikh Ahmad di sini.

Sukan woodball dipilih dalam program ini kerana ia bersesuaian dengan status serta profil di mana Perlis bakal menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) ke 9 pada 24-30 Julai tahun hadapan.

Program pada hari berkenaan turut menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi PALTUM.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha PALTUM, Nur Faradina Mohamed dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.

Nur Faradina berkata, sepanjang berada di Perlis, delegasi seramai 25 peserta itu turut meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan & Amal Rumah Teduh Perlis di sini.

"Program sumbangan ini adalah kerjasama pihak warga kerja Petronas Group Digital (ICT), Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKIP), Marrybrown and juga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Kami turut berpeluang menyertai program Kayuhan MAIPs Peduli dalam menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama baginda berdua yang juga merupakan alumni universiti ini," katanya.

Untuk rekod, La Trobe University merupakan sebuah universiti penyelidikan multi kampus terkenal terletak di Melbourne, Australia yang pada ketika ini menduduki tempat ke-341 dalam 2019 QS World University Rankings.

Ia meletakkan universiti ini dalam skala 1.2 peratus ranking tertinggi antara universiti seluruh dunia.