Warga emas maut nahas motosikal

Kereta jenis Proton Pesona yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun datang dari arah Kuala Krai menghala ke Machang. Foto: Ihsan PDRM
Kereta jenis Proton Pesona yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun datang dari arah Kuala Krai menghala ke Machang. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

MACHANG - Seorang penunggang motosikal warga emas maut dalam kemalangan ketika keluar dari simpang dipercayai secara mengejut di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai di Batu 31 pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Haron Che Yeh, 80, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Pesona dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun datang dari arah Kuala Krai menghala ke Machang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa kereta dipandu di laluan sah, tiba-tiba motosikal yang ditunggangi mangsa keluar dari simpang di sebelah kiri jalan secara mengejut tanpa beri isyarat dan terus melintas di laluan sah kereta.

“Pemandu kereta dikatakan tidak sempat brek lalu melanggar mangsa menyebabkannya melambung dan jatuh ke laluan arah ke Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Ujarnya, mangsa yang beralamat di Kampung Kemunchup, Machang itu disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.