Pelajar maut, sambutan Hari Guru bertukar majlis tahlil

Mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada Jumaat.
Mangsa yang dalam perjalanan ke sekolah maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Hari Guru dan Aidilfitri yang diadakan di sebuah sekolah bertukar kepada majlis tahlil susulan seorang pelajarnya maut ketika dalam perjalanan ke sekolah tersebut pada Jumaat.

Yang Dipertua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2), Mohd Syariffuddin Rahmat berkata, beliau dan guru besar sekolah, Wan Shamsiah Wan Yusoff bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden menimpa pelajar berumur 16 tahun itu.

Pihaknya dimaklumkan bahawa pelajar berkenaan yang dalam perjalanan ke sekolah, maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Persiaran Jubli Perak dari arah Persiaran Kemajuan ke Bulatan Andalas di sini.

"Selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya ke tempat kejadian bersama pengetua dan kami juga nampak ada satu tong air batu di atas motor yang dipercayai untuk digunakan pada majlis sambutan di sekolah hari ini," katanya.

Orang ramai mengerumuni mayat mangsa yang maut dalam kemalangan di Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada Jumaat.
Orang ramai mengerumuni mayat mangsa yang maut dalam kemalangan di Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian itu turut diumumkan pihak sekolah dalam perhimpunan dan turut membatalkan acara persembahan sempena sambutan Hari Guru dan mengadakan majlis tahlil buat arwah selepas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

Menurutnya, ketika kemalangan kira-kira jam 8.05 pagi itu, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan ke SMK Seksyen 24, hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah jalan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 16 tahun itu tinggal di Seksyen 7, mangsa memakai helmet, namun tidak memiliki lesen memandu dan menunggang motosikal milik ibunya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767," katanya.