5,000 Pemuda Umno, Unit Amal Pas bergabung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 5,000 Pemuda Umno dan Jabatan Amal Pas (Unit Amal) akan digerakkan pada himpunan ummah bersempana kejayaan membantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memastikan kelancaran dan keamanan sepanjang himpunan berlangsung pada Sabtu ini.

"Kira-kira 5000 Pemuda Umno dan Jabatan Amal Pas akan bergandingan dan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami meminta agar rakyat Malaysia dapat berhimpun dengan aman dan tidak mencetuskan sebarang unsur perkauman mahupun menyentuh sensitiviti mana-mana agama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas nafi himpunan ICERD berunsur perkauman]

Menurut Asyraf, pihaknya akan memastikan sebarang bentuk provokasi sama ada melalui perbuatan, poster, laungan dan sorakan yang menyentuh isu-isu perkauman serta agama dilakukan oleh mana-mana individu akan segera diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Kami juga berharap kerjasama semua pihak agar mengambil gambar individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan di samping menjaga disiplin termasuk kebersihan dengan membawa beg plastik sampah," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa himpunan itu adalah solidariti rakyat bukan sahaja menolak ICERD tetapi membantah apa jua bentuk usaha untuk meruntuhkan keharmonian pelbagai agama dan kaum.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kita adalah rakyat Malaysia cintakan keamanan yang telah dibina berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan mengikut acuan kita sendiri.

"Justeru Pemuda Umno meminta seluruh rakyat Malaysia bersolidariti dengan berpakaian putih selama sehari dan mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan kepada keamanan dan keharmonian pelbagai agama serta kaum," katanya.