Polis tahan pemandu e-hailing cabul penumpang wanita

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang pemandu e-hailing yang disyaki mencabul seorang penumpang wanita semasa dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Permas Jaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Ulu Tiram di sini pada malam Rabu.

"Kejadian berlaku ketika mangsa yang berumur 23 tahun baru pulang dari tempat kerja di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini telah menempah perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumahnya di Permas Jaya.

"Semasa dalam perjalanan, suspek telah beberapa kali meminta mangsa duduk di tempat duduk hadapan. Namun mangsa menolak permintaan tersebut kerana bimbang keselamatan dirinya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semasa kenderaan dipandu suspek berada di Jalan Bakar Batu berhampiran persimpangan South Key, mangsa terpaksa menurut kehendak suspek dengan berpindah ke tempat duduk penumpang hadapan.

"Suspek telah bertindak mencabul kehormatan mangsa dengan meraba bahagian dada beberapa kali, mangsa berjaya menolak suspek dan melepaskan diri dengan keluar dari kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Polis turut merampas telefon, kenderaan jenis Perodua Alza berwarna putih dan kunci yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Raub turut menasihatkan orang ramai terutama penumpang wanita agar sentiasa berwaspada semasa menggunakan perkhidmatan e-hailing ketika bersendirian.