Rayuan kes dadah Farid Kamil ditangguh

Farid Kamil (kanan) hadir dalam prosiding kes rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis bersama isterinya, Diana Danielle.
Farid Kamil (kanan) hadir dalam prosiding kes rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis bersama isterinya, Diana Danielle.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengurusan kes rayuan pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari berhubung rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis, untuk mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) empat tahun lalu, ditetapkan pada 23 Mei ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersidang bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili pelakon itu, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hisyam berkata, beliau perlu menghadiri perbicaraan kes rasuah berkaitan projek Visa Luar Negara (VLN) melibatkan anak guamnya iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya terlibat dalam perbicaraan kes itu selama dua hari sehingga yang mana saksi utama akan dipanggil beri keterangan," katanya.

Turut mewakili pelakon itu ialah peguam Kee Wei Lon, manakala pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan Khamis untuk mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang mana Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil kepada denda RM5,000.

Namun rayuan silang itu turut ditangguhkan.