Pembantu tadbir rugi RM38,480 ditipu scammer

Aidi Sham Mohamed
Aidi Sham Mohamed
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pembantu tadbir kerugian RM38,480 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dari sebuah syarikat penghantaran barang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 46 tahun itu diberitahu terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya.

"Bagaimanapun mangsa menafikan dan diberitahu kemungkinan maklumat dirinya disalah guna.

"Mangsa (talian telefon) kemudian disambungkan kepada pegawai polis iaitu 'ASP Wong' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan diberitahu terlibat kes penggubahan wang haram serta pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Aidi Sham, pegawai polis palsu berkenaan meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu 'username' dan kata laluan bagi empat akaun banknya.

"Mangsa telah menyerahkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima untuk pemindahan wang kepada suspek.

"Namun mangsa mula berasa curiga apabila diminta untuk memasukkan wang dan apabila semakan dibuat, mangsa mendapati wang berjumlah RM38,480 dalam empat akaun banknya dipindahkan ke dalam akaun tidak dikenal pasti.

"Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Aidi Sham berkata, orang ramai diingatkan agar tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan dari agensi penguat kuasa atau institusi kewangan.

Katanya, jangan mudah untuk mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun itu pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

"Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika ada keraguan," katanya.