Polis rampas dadah cecair vape

Eng Lai (dua dari kanan) menunjukkan botol perasa vape.
Eng Lai (dua dari kanan) menunjukkan botol perasa vape.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan satu sindiket menjual dan mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk cecair perasa rokok eletronik atau vape terbongkar selepas digempur pihak polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket terbabit aktif sejak setahun lalu dengan menjual dadah berkenaan di dalam botol perasa vape bersaiz 10 milliliter (ml) di sekitar Lembah Klang dengan harga RM150 sebotol.

Difahamkan, pengguna hanya perlu menitiskan satu ke tiga titik cecair MDMA tersebut ke dalam peranti vape mereka untuk merasakan kesan khayal.

"Melalui operasi pada jam 6.40 di hadapan sebuah kondominium di Jalan Kuching, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti itu..

"Susulan itu, suspek membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah dipercayai pusat memproses dadah di Petaling Jaya dan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan ditahan.

"Remaja terbabit dipercayai teman wanita kepada salah seorang ahli sindiket berusia 25 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.

Antara dadah MDMA yang dirampas dalam serbuan tersebut.
Antara dadah MDMA yang dirampas dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut polis menahan seorang lagi anggota sindiket berusia 34 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cemur di sini sekitar jam 11.30 malam Rabu.

"Tindakan susulan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada kesemua suspek bahawa masih ada rakan mereka menjalankan kegiatan itu di sekitar Dang Wangi.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan diperoleh," katanya.

Katanya, polis merampas sebanyak 4,210ml dadah sintetik jenis MDMA dan air ketum sebanyak 7,000ml dengan nilai bahan dianggarkan berjumlah RM210,570.

"Kita juga berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Lembah Klang," ujarnya.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari bermula Rabu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup.