Pesawah terima elaun RM200 selama enam bulan

Ismail Sabri ketika menyerahkan replika cek tabung bencana pertanian ketika Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam Rabu. Turut hadir, Ronald Kiandee.
 - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menyerahkan replika cek tabung bencana pertanian ketika Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam Rabu. Turut hadir, Ronald Kiandee.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan sementara menunggu waktu menuai padi RM200 sebulan kepada golongan pesawah selama enam bulan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Makan Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada Rabu.

Beliau berkata, bantuan tersebut akan dimasukkan dalam Pembentangan Bajet 2023 kelak.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan kerajan bersetuju untuk berikan bantuan sementera menunggu padi dituai RM200 untuk enam bulan (dua musim).

"Kita akan masukkan dalam Bajet 2023 diumumkan Oktober nanti. Saya percaya kita adil kepada semua. Penoreh getah dapat, nelayan dapat, pesawah juga dapat," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, susulan pengumuman pemansuhan permit import (AP), beliau berharap Nafas dapat menggunakan peluang itu untuk menjadi sebahagian daripada pengimport makanan.

Beliau turut meminta Nafas agar menguasai seluruh rantai nilai pengeluaran ayam sekali gus menamatkan sebarang ugutan golongan tidak bertanggungjawab terhadap pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah beritahu Menteri (Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Sr Ronald Kiandee) bahawa kita tidak boleh membiarkan kerajaan sentiasa diugut oleh pengeluar ayam.

"Sebab itu saya minta Nafas, Persatuan Peladang memainkan peranan membantu kerajaan supaya pasaran ayam dikuasai oleh kita secara tidak langsung tiada lagi ugutan daripada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Nafas mempunyai sejuta ahli. Kalau Nafas terbabit dalam pengeluaran dan menjual ayam, ahli Nafas sudah mencukupi untuk menjadi pasaran tersedia kepada Nafas,"katanya.

Sementara itu, pada majlis sama turut diumumkan kadar dividen lapan peratus bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021 membabitkan jumlah pembayaran RM8.5 juta.

Turut disampaikan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan, Lembaga Pertubuhan Peladang yang diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berjumlah RM4.476 juta.

Replika cek disampaikan kepada wakil Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Ipoh, Negeri Semblan, Datuk Abdul Samad Ibrahim yang mewakili 483 ahli Peladang yang terkesan akibat bencana.