X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kim Swee puji 'impak maksima' Baddrol

Baddrol turun sebagai penyerang utama ketika membantu Sabah melakar kemenangan 4-2 ke atas Penang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Selasa. - Foto FB Sabah Football Club
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji aksi ditampilkan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar yang turun selaku penyerang utama bagi membantu The Rhinos menang 4-2 ke atas Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, pada Selasa.

Baddrol selaku kapten pasukan diberi kepercayaan oleh Kim Swee untuk berada di jentera serangan sekali gus berjaya memberi impak positif untuk memastikan kemenangan berharga Sabah.

Jelas Kim Swee, beliau juga tidak menjangka anak buahnya mampu memperoleh empat gol apatah lagi selepas Penang FC berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 51.

“Kita tahu Baddrol merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan dia bermain dengan cukup baik di posisi berlainan di mana kita bermain selama 120 minit tempoh hari dalam Piala FA, dan ini memberi impak dari segi keletihan.

“Tetapi majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan memuaskan. Kalau ikut perancangan, sudah tentu saya tidak menjangkakan sehingga empat gol tetapi pemain bangkit selepas gol penyamaan dan ini menunjukkan mereka berada di tahap cukup terutama dari segi mentaliti dan keyakinan mereka,” katanya.

Dalam perlawanan itu, anak buah Kim Swee terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan Baddrol, sekali gus meletakkan pelawat di depan pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Harimau Kumbang kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol yang dijaringkan T Saravanan pada minit ke-51.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah menggandakan asakan menyaksikan Jackson De Souza kembali meletakkan pelawat di depan menerusi jaringan pada minit ke-57, sebelum selang tiga minit, Baddrol melakukan ‘overhead kick’ untuk gol ketiga Sabah.

Anak buah Kim Swee itu melakukan lebih banyak serangan dan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan Stuart John Wilkin pada minit ke-66, sebelum Hilal El-Helwe kemudian merapatkan kedudukan untuk Penang FC pada minit ke-76'.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!