Saya sangat 'laparkan' emas: Hoe Yean

Hoe Yean meraih pingat emas pada acara 200m gaya bebas lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Akuatik My Dinh di Hanoi pada Rabu.
Hoe Yean meraih pingat emas pada acara 200m gaya bebas lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Akuatik My Dinh di Hanoi pada Rabu.
A
A
A

KEKECEWAAN terlepas pingat emas sebelum ini menjadi pendorong kepada perenang muda negara Khiew Hoe Yean berusaha habis-habisan untuk memenangi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada aksi final di Pusat Akuatik My Dinh di Hanoi, pada Rabu.

Perenang kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui beliau sangat menginginkan pingat emas selepas berjaya mengumpul tiga pingat perak pada temasya sukan dwitahunan itu.

Perasaan kecewa terutama ketika gagal meraih emas pada acara 200m kuak dada Isnin lepas tidak mematahkan semangatnya, tetapi digunakan sebagai pengajaran untuk lebih fokus.

"Saya rasa bagus, saya bersedia kali ini selepas tiga acara dan dapat tiga pingat perak. Saya sangat ‘laparkan’ emas jadi saya lakukan yang terbaik dan akhirnya emas di tangan saya, terima kasih kepada keluarga dan jurulatih.

"(Pada perlawanan hari ini) saya cuba untuk bertenang, kerana tiga acara sebelum ini saya sangat teruja, jadi saya rancang untuk kekal tenang. Perenang Vietnam dan Singapura sangat pantas jadi ia agak memberi tekanan kepada saya,” katanya pada Rabu.

Hoe Yean mencatat masa 1 minit dan 47.81 saat (s) manakala Quah Zheng Wen dari Singapura merangkul perak dengan 1:48.20s dan perenang Vietnam Hoang Quy Phuoc (1:49.35s) mendapat gangsa.

Tiga pingat perak diraih Hoe Yean di Hanoi adalah daripada acara 400m gaya bebas, 200m kuak lentang dan 4x200m gaya bebas.

Pada final 4x200m gaya bebas semalam, beliau membantu kuartet negara yang turut dibarisi Welson Sim, Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 7:19.75s. - Bernama