Komuniti B40 di Sarawak terima sumbangan komputer daripada Maxis

Sumbangan komputer dan komputer riba yang telah diperbaharui disampaikan kepada beberapa komuniti B40 di Sarawak, melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).
Sumbangan komputer dan komputer riba yang telah diperbaharui disampaikan kepada beberapa komuniti B40 di Sarawak, melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat telekomunikasi terkemuka, Maxis menyalurkan sumbangan komputer dan komputer riba yang telah diperbaharui kepada beberapa komuniti B40 di Sarawak.

Sumbangan yang disalurkan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bertujuan membantu pendigitalan komuniti di seluruh Rangkaian Malaysia.

Komuniti B40 yang terpilih termasuk Persatuan Ibu Tunggal Sarawak, Kelab Carnation Bahagian Kuching dan Samarahan, Sarawak Women for Women Society dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak.

Ketua Wilayah Malaysia Timur Maxis, Bhaarathyraja Thanapal berkata, melalui sumbangan tersebut, penerima terpilih akan menyertai eKelas Usahawan, program pemasaran digital Maxis yang melengkapkan usahawan wanita dengan kemahiran asas pemasaran digital.

“Keupayaan untuk memanfaatkan teknologi penting terutamanya dalam persekitaran pasca pandemik ini, tetapi tidak setiap keluarga mampu untuk memiliki peranti.

"Maxis berbesar hati dapat menyalurkan sumbangan bagi membolehkan lebih ramai komuniti bersalinghubung dan menyertai program seperti eKelas Usahawan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah JWKS, Norita Bawi berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang menyediakan ekosistem digital agar wanita serta keluarga memperoleh kemahiran dan akses kepada peranti yang sesuai.

"Hal ini penting supaya golongan wanita di negeri ini mampu menyumbang secara aktif dalam pembangunan yang dipacu oleh ekonomi digital.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Maxis atas sumbangan peranti yang diberikan, yang pasti sangat membantu wanita ini," katanya.

Sumbangan peranti berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Maxis kepada #MYBaikHati, program penyumbangan peranti yang telah diperbaharui peringkat kebangsaan untuk diedarkan kepada komuniti yang memerlukan, difasilitasi oleh industri telekomunikasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Di bawah #MYBaikHati, Maxis telah mengedarkan lebih 420 komputer dan komputer riba ke sekolah dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PeDI) di seluruh negara.

Selain membolehkan usahawan wanita mengakses program eKelas Usahawan, peranti itu juga membolehkan lebih ramai pelajar mendaftar dan mengakses eKelas, program komuniti utama Maxis, yang menawarkan kandungan digital selepas sekolah untuk pelajar tahun empat hingga tingkatan lima melalui portal eKelas dan aplikasi mudah alih.