Lelaki gagal larikan wang RM152,900

Sebuah mesin ATM di sebuah bank di Tanah Merah cuba dipecahkan oleh seorang lelaki tetapi usahanya gagal.
Sebuah mesin ATM di sebuah bank di Tanah Merah cuba dipecahkan oleh seorang lelaki tetapi usahanya gagal.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang lelaki gagal melarikan wang tunai berjumlah RM152,900 daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di salah sebuah bank di sini selepas usahanya memecahkan mesin itu menemui jalan buntu dalam kejadian awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian itu diketahui pengurus bank berkenaan pada jam 7.16 pagi selepas menerima panggilan daripada seorang kakitangannya.

"Sebaik tiba di premis berkenaan pada jam 8.10 pagi, pengurus bank yang melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan terhidu bau hangit dan mendapati sebahagian pintu hadapan ditutup dengan kertas.

"Bukan itu sahaja kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan turut ditutup menggunakan pita pelekat bagi tujuan mengelakkan tindakannya dirakam," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut oleh pengurus bank berkenaan mendapati salah satu pintu penutup ATM itu tercabut selain terdapat kesan canai di bahagian bawah mesin berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pengurus bank memaklumkan wang dalam ATM berkenaan gagal dilarikan oleh suspek.

Wan Zulfikri berkata, terdapat dua buah mesin ATM dan satu mesin deposit wang (CDM) di dalam premis berkenaan.

"Berdasarkan semakan dengan pihak bank mendapati pintu utama masuk ke ruangan ATM itu tidak berfungsi sejak 12 April lalu dan dalam tindakan pembekal (bagi tujuan baik pulih). Kebiasaannya, pintu automatik itu akan ditutup pada jam 12 tengah malam.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati salah sebuah mesin ATM mengalami kerosakan di bahagian pintu disyaki dipotong menggunakan mesin pencanai selain terdapat kesan dipotong pada pintu utama.

Menurutnya, hasil semakan daripada CCTV mendapati sebelum kejadian seorang lelaki telah datang ke premis berkenaan dengan membawa sebuah kerusi plastik dan kemudian masuk ke ruangan ATM pada jam 1.59 pagi.

Katanya, suspek yang bertopi keledar, memakai baju T lengan panjang berwarna merah dan berseluar jeans kemudiannya bertindak menutup CCTV menggunakan pita pelekat.

"Suspek yang turut turut memakai sarung tangan itu keluar dari kawasan berkenaan pada jam 2.05 pagi dan masuk semula dua minit kemudian untuk mengambil barangan miliknya.

"Kali terakhir suspek keluar dan beredar dari lokasi pada jam 3.15 pagi sambil membawa beg galas. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati salah sebuah mesin ATM telah dipotong menggunakan mesin canai," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pintu ATM itu tidak dapat dibuka kerana ia mengalami kerosakan dan masih menunggu pembekal untuk membaik pulih.

Katanya, semakan mendapati wang di dalam ATM itu masih berbaki sebanyak RM152,900.