Semua negeri setuju laksana kempen tanpa beg plastik: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan caj pencemaran plastik dengan nilai minimum 20 sen bagi setiap helai beg plastik melalui Kempen Tanpa Beg Plastik seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan pada Selasa berkata, kementeriannya telah mendapat mandat daripada mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-76 untuk mengenakan caj pencemaran itu.

Beliau berkata, persetujuan untuk meneruskan pelaksanaan kempen tersebut dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) dipengerusikannya pada Selasa.

"Beberapa negeri lain sedang dalam perancangan untuk mula melaksanakan kempen ini berserta dengan kutipan caj tersebut, bermula dengan fasa awal iaitu kesedaran pengguna.

"Inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2021 ini merupakan satu usaha yang berkesan dalam mengurangkan pencemaran plastik di Malaysia. Saya berharap inisiatif ini akan terus disokong oleh semua pihak demi kelestarian alam sekitar yang menjadi tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus memperkasakan program Rakan Alam Sekitar (RAS) dengan mewujudkan lima kluster utama di bawah RAS 2.0 bagi menggerakkan aktiviti melestarikan alam sekitar di seluruh negara secara lebih fokus.

Menurutnya, kewujudan Kluster RAS Agensi, Kluster RAS Kampus, Kluster RAS Sekolah, Kluster RAS Industri dan Kluster RAS Komuniti adalah bertujuan membentuk dan mengkategorikan ahli-ahli RAS dan akan melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pengakap serta Rukun Tetangga.

Tuan Ibrahim berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju untuk mengeratkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan aktiviti-aktiviti pembangunan dapat diseimbangkan dengan keperluan pelestarian alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat berkenaan turut memaklumkan bahawa program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat kebangsaan akan diadakan pada 21 Oktober tahun ini di Pahang.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, mesyuarat MEXCOE itu bakal diperkasakan dengan penyusunan semula keahlian mesyuarat itu serta penambahan ahli terutamanya dari Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. - Bernama