Sindiket gagal seludup 12,000 liter diesel

Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan susulan serbuan dilakukan PPM Wilayah Dua di Jalan Tampoi pada malam Selasa. - Foto PPM Wilayah Dua
Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan susulan serbuan dilakukan PPM Wilayah Dua di Jalan Tampoi pada malam Selasa. - Foto PPM Wilayah Dua
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket penyeludupan diesel tumpas selepas bahan bakar sebanyak 12,000 liter yang dianggarkan bernilai RM25,800 dirampas dalam dua serbuan di Batu 3 1/2, Jalan Tampoi pada malam Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan pada jam 11.30 malam itu dilakukan pegawai dan anggota dari Unit Risik Marin PPM Wilayah Dua.

"Semasa serbuan pertama dan kedua, didapati seorang pemandu dan seorang pembantu kedua-dua lori tangki tersebut sedang mengisi minyak diesel ke dalam lori tangki.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 12,000 liter minyak diesel telah diisi di dalam dua buah lori.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk diesel, 12 unit tangki minyak plastik dan dua buah lori dianggarkan bernilai RM197,800," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Muhd Zailani, kesemua rampasan termasuk empat suspek lelaki berusia 21 hingga 43 tahun telah dibawa di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi.

"Kesemua suspek ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel Berkaitan: