5 ditahan bakar bunga api sambut hari lahir 'Big Brother'

Lima ditahan kerana disyaki membakar bunga api berhampiran Plaza Tol Setia Alam semasa menyambut hari lahir salah seorang rakan mereka.
Lima ditahan kerana disyaki membakar bunga api berhampiran Plaza Tol Setia Alam semasa menyambut hari lahir salah seorang rakan mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sekumpulan lelaki menyambut hari lahir dengan membakar bunga api berhampiran Plaza Tol Setia Alam di sini mengundang padah apabila lima daripada mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis terkesan video memaparkan kejadian berkenaan tular selepas dimuat naik seorang pengguna Tik Tok pada Isnin.

"Pada 16 Mei, kira-kira jam 12 tengah hari, pengadu yang merupakan Ketua Balai Polis Setia Alam menyedari terdapat satu rakaman video bertajuk 'Big Brother Birthday Celebration' di laman sosial Tik Tok.

"Kejadian berlaku pada 14 Mei, lebih kurang jam 8 malam bagi meraikan hari lahir salah seorang rakan dikenali 'Mustafa' yang berhenti di tepi tol berkenaan untuk berjumpa dengan kawan-kawan lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 41 tahun ditahan sekitar jam 12 tengah hari selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, pada Selasa.

"Setakat ini seramai lima lelaki tempatan ditangkap dan permohonan reman akan dibuat di mahkamah pada Rabu untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel Berkaitan: