BSN taja RM180,000 sempena Hari Guru 2022

(dari kiri), Dr Adi Badiozaman, penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Nor Zamani, Mohd Radzi, Mujibburrahman, Roslan, penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2022 dan Dr Mohamed Fadzli.
(dari kiri), Dr Adi Badiozaman, penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Nor Zamani, Mohd Radzi, Mujibburrahman, Roslan, penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2022 dan Dr Mohamed Fadzli.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Simpanan Nasional (BSN) menaja hadiah penghargaan berjumlah RM180,000 bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru 2022.

Secara keseluruhan, sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi sambutan di peringkat kebangsaan, manakala RM80,000 lagi bagi peringkat negeri.

Menurut Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, penyampaian kedua-dua anugerah tersebut merupakan tanda sokongan pihaknya kepada pendidik serta institusi pendidikan negara dalam membentuk pembangunan generasi muda yang berkemahiran dan berbudaya tinggi.

“Syabas diucapkan kepada semua pemenang. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukanlah mudah dan para pendidik sewajarnya dihargai dan diraikan sempena Hari Guru tahun ini,” kata dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah menyerahkan hadiah berupa BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) dan loket emas, masing-masing bernilai RM50,000 kepada Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Tokoh Guru Kebangsaan bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan.

Hadir sama mengiringi penyampaian hadiah tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan,

Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022.

Beliau telah banyak menyumbang dalam merencanakan pembangunan pendidikan pada pelbagai peringkat.

Penglibatan beliau dalam merekayasa penerapan unsur-unsur ilmu, budaya, dan sebagainya sistem pendidikan negara sangat signifikan.

Menyedari pentingnya pendidikan sebagai satu usaha konkrit mewujudkan masyarakat berbudaya dan pembangunan jati diri warga muda, beliau telah mencetuskan idea dan membentuk konsep sekolah seni dalam sistem pendidikan.

Sementara itu, Roslan Yatim pula dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2022 yang mana beliau merupakan bekas Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena tahun 2008 hingga 2016.

Beliau seorang pencetus aspirasi, pemangkin inovasi dan penggerak dalam pendidikan teknologi maklumat.

Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatan, antaranya Anugerah Kepimpinan ICT dan Teknologi Maklumat, Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), Anugerah Inovasi Sektor Awam, Jabatan Perdana Menteri (2013) dan Anugerah Khas Kepimpinan Cemerlang, Universiti Malaysia Perlis (2014).