MCA gantung keahlian Siew Kiong lima tahun

Siew Kiong menunjukkan notis penggantungan keahliannya selama lima tahun daripada MCA ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay pada Selasa.
Siew Kiong menunjukkan notis penggantungan keahliannya selama lima tahun daripada MCA ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Setiausaha MCA Pusat dan Ketua Bahagian MCA Pontian, Datuk Tee Siew Kiong digantung keahliannya selama lima tahun dalam parti itu, bermula Jumaat lalu.

Bagaimanapun Siew Kiong, 58, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pulai Sebatang selama tiga penggal mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib MCA itu yang menjatuhkan hukuman berbeza antara pemimpin yang melakukan kesalahan sebelum ini.

"Saya menerima notis penggantungan keahlian selama lima tahun bermula 13 Mei menerusi pesanan WhatsApp pada Sabtu lalu.

"Di dalam notis itu juga memaklumkan saya boleh merayu keputusan tersebut dalam tempoh 14 hari. Tetapi saya perlu dapatkan pandangan terlebih dahulu daripada pelbagai pihak termasuk penyokong," katanya di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay, di sini pada Selasa.

Bekas Exco Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu turut memberitahu keputusan untuk menggantung keahliannya hanya setahun setengah namun berubah kepada lima tahun.

"Menurut sumber dalaman parti, jawatankuasa tatatertib MCA pada asalnya mencadangkan untuk menggantungkan keahlian parti selama setahun setengah sahaja. Tetapi saya tidak tahu kenapa tempoh penggantungan berubah kepada lima tahun.

"Tindakan penggantungan selama lima tahun ini dibuat seolah-olah ada campur tangan dan tidak menghormati setiap ahli jawatankuasa tatatertib MCA yang mempunyai hak atas keputusan itu," katanya yang juga bekas penasihat kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Ditanya mengenai masa depan politiknya sama ada akan menyertai parti daripada blok pembangkang, Siew Kiong menjelaskan perkara terbabit masih belum difikirkan.

"Saya selalu bertemu dengan pemimpin daripada pelbagai parti termasuk pembangkang. Pertemuan hanya bertujuan untuk tingkatan mutu perkhimatan kepada rakyat, inilah cara Bangsa Johor.

"Namun untuk menyertai blok pembangkang, perkara itu masih belum difikirkan. Saya masih mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu," katanya.

Sementara itu menerusi notis penggantungan yang ditunjukkan kepada media menerusi sidang akhbar itu, penggantungan dibuat disebabkan Siew Kiong mengkritik pimpinan parti dan telah mengeluarkan kenyataan palsu di dalam Facebook Live pada 25 Febuari lalu dan 21 April lalu.