Malaysia bukan tandingan Thailand

No Image Caption
A
A
A

SEPERTI dijangka, skuad sepak takraw lelaki negara melalui detik sukar berdepan Thailand apabila tewas 0-2 pada aksi sulung Kumpulan C acara antara regu di Pusat Sukan Hoang Mai, Hanoi pada Isnin.

Regu negara dibarisi Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali tewas 16-21, 9-21 dalam tempoh 35 minit meskipun Thailand tidak membariskan perejam sensasi Pornchai Kaokaew.

Pada aksi hari ini, Thailand menurunkan trio Sittipong Khamchan, Patarapong Yupadee, Jirasak Pakbuangoen yang merupakan regu pertama antara tiga bagi acara berpasukan yang memenangi emas pada Ahad.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berdepan misi hidup mati bertemu Vietnam pada perlawanan kedua kumpulan esok untuk menempah slot ke separuh akhir.

Bagi Norfaizzul, biarpun tewas beliau tetap lega apabila tiada kecederaan membelenggu pasukan dalam usaha memburu kemenangan menentang pasukan tuan rumah.

Namun, beliau berharap pasukan dapat mengurangkan kesilapan mudah dan tampil dengan permainan lebih kemas.

"Masa set pertama (menentang Thailand) memang kami boleh bersaing lagi tetapi kami melakukan banyak kesilapan di set kedua membuatkan pungutan mata Thailand menjadi bertambah jauh," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas mengenai aksi esok dan serangan psikologi penyokong tuan rumah, Norfaizzul berkata pengalaman beraksi di saingan Liga Sepak Takraw (STL) membuatkan beliau bersedia dengan segala kemungkinan.

"Lagipun apa mereka (penonton) cakap kami bukan faham pun, janji kami memberikan permainan terbaik untuk berdepan Vietnam dan memperoleh slot ke separuh akhir.

"Insya-ALLAH kami akan bangkit menentang Vietnam, kekuatan mereka adalah melalui kehebatan tekong yang melakukan servis tajam, jadi kami harus pertingkatkan corak pertahanan dengan baik,” katanya.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 namun ketika itu Thailand tidak mengambil bahagian.

Dalam pada itu, regu wanita negara memulakan saingan liga sepusingan dengan langkah kanan apabila menewaskan Myanmar 2-0 dan akan turun beraksi bertemu pasukan tuan rumah dalam perlawanan kedua, petang ini. - Bernama