Sila log masuk terlebih dahulu.

Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

Ops Carilamat bagi menjejaki mangsa giat dilakukan.
Ops Carilamat bagi menjejaki mangsa giat dilakukan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang nelayan dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke laut ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong kira-kira jam 5.30 pagi pada Isnin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mangsa, T Razali Wok, 74, bersama tiga nelayan lain termasuk tekong bot dalam perjalanan ke pangkalan sebelum dipercayai terjatuh pada kedudukan empat batu nautika dari Kuala Chendering di sini.

Katanya, tekong bot, Abu Bakar Yassin yang menyedari mangsa hilang ketika merapatkan bot ke jeti sebelum melaporkan kejadian.

"Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan mengatur gerak bot Perkasa 1234 ke lokasi kejadian dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan mangsa.

"Berdasarkan aduan, mangsa disyaki telah jatuh laut dan usaha menjejaki mangsa kini giat dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Muhammad Suffi, sebelum kejadian, mangsa telah keluar mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong menggunakan bot Kelas A bernombor pendaftaran TFA 1643 yang berpangkalan di Chendering di sini.

Katanya, kali terakhir mangsa dilihat berada di dalam bot semasa perjalanan pulang sekitar jarak empat batu nautika menghala ke jeti.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai juga diminta melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 (Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu).