Johor umum RM8.88 juta naik taraf bilik guru

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor mengumumkan peruntukkan sebanyak RM8.88 juta bagi menaik taraf 1,775 bilik guru di semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukkan terbabit bakal memberi manfaat kepada 53,130 guru.

Katanya, ia sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada golongan pendidik sempena Hari Guru pada Isnin yang disambut seluruh negara dengan tema 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.

"Setiap bilik guru akan diperuntukkan sebanyak RM5,000.

Bilik guru merupakan tempat istirahat guru-guru di sekolah, peruntukan ini boleh digunakan sama ada untuk membeli pendingin hawa, peti sejuk dan ketuhar.

Onn Hafiz (tengah) tiba di Dewan Sultan Iskandar Maktab Sultan Abu Bakar bagi sambutan Hari Guru pada Isnin.
Onn Hafiz (tengah) tiba di Dewan Sultan Iskandar Maktab Sultan Abu Bakar bagi sambutan Hari Guru pada Isnin.

"Semoga dengan bantuan kecil ini dapat membantu memberi keselesaan kepada guru-guru untuk terus mencurah ilmu demi mendidik anak bangsa," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru di Maktab Sultan Abu Bakar di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor ( JPNJ), Sahilon Abd Halim dan Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Ahmad Shakir Jaafar.

Sementara itu, Onn Hafiz turut meluluskan peruntukkan sebanyak RM200,000 untuk menaik taraf Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar.

"Maktab Sultan Abu Bakar antara sekolah tertua di negeri ini.

Maktab ini juga banyak melahirkan tokoh- tokoh berjasa untuk negara.

"Justeru, peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri bagi naik taraf dewan di maktab ini diharapkan dapat memberi keselesaan kepada pelajar dan guru-gurunya," katanya.