Sila log masuk terlebih dahulu.

Lelaki sesat hampir 24 jam di Gunung Banang ditemui selamat

Pasukan penyelamat menerima taklimat sebelum memulakan operasi SAR di Gunung Banang, pada Ahad.
Pasukan penyelamat menerima taklimat sebelum memulakan operasi SAR di Gunung Banang, pada Ahad.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki ditemukan selamat selepas hampir 24 jam hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama ahli keluarganya di Gunung Banang, Hutan Simpan Banang di sini, pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang berusia 45 tahun ditemui selepas dia berjaya keluar sendiri dari kawasan pendakian kira-kira jam 7 malam, pada Ahad.

“Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada isterinya kira-kira jam 10.21 malam pada Sabtu. Laporan itu dibuat selepas isteri mangsa tidak menemui suaminya yang gagal sampai ke puncak.

“Berdasarkan keterangan, isteri mangsa memaklumkan dia dan mangsa bersama tiga anak mereka berpisah di pertengahan jalan pendakian selepas suaminya kembali ke tapak permulaan kerana menghantar salah seorang anak mereka yang sakit kaki.

“Isteri dan dua lagi anaknya meneruskan perjalanan ke puncak sementara mangsa kembali mendaki gunung itu secara sendirian sebelum hilang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Shahrulanuar berkata, mangsa juga tidak kembali ke tapak permulaan.

“Isteri mangsa dan anak mereka menunggu mangsa sehingga jam 7.30 malam pada Sabtu, sebelum membuat laporan polis pada jam 10.21 malam kerana tidak menemui mangsa.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan pada pagi Ahad, melibatkan pasukan penyelamat dari pelbagai agensi dengan keluasan kawasan lokasi pencarian kira-kira 150 hektar persegi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa dilaporkan ditemui kira-kira jam 7 malam selepas keluar sendiri dengan selamat ke kawasan Tanjong Laboh, di sini.

“Mangsa tersasar sejauh 10 kilometer dari lokasi tapak permulaan setelah sesat di Hutan Simpan Banang,” katanya.