Semangat guru OKU terus membara

Zawati Yusoff (kanan) ketika menerima Tokoh Zinnirah Ar-Rumiyah orang kurang upaya (OKU) Kelantan pada tahun 2021.
Zawati Yusoff (kanan) ketika menerima Tokoh Zinnirah Ar-Rumiyah orang kurang upaya (OKU) Kelantan pada tahun 2021.
A
A
A

KOTA BHARU - Dilahirkan kerdil dengan ketinggian hanya 95 sentimeter (cm) bukan halangan buat wanita ini menyumbang tenaga dan bakti sebagai seorang guru yang mendidik anak bangsa.

Bahkah, Zawati Yusoff, 52, tetap bersemangat bagi mengharungi cabaran dan kesakitan dialami akibat keterbatasan fizikal yang dimiliki oleh beliau dalam meneruskan khidmat sebagai golongan pendidik untuk mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Saya boleh berjalan seperti orang normal tetapi akan mengalami rasa tidak selesa seperti cepat lenguh atau sakit pada kaki jika berjalan jauh dan berdiri lama.

“Sakit tu sekejap saja, lepas urut atau rehat, saya akan pulih semula, sebab itu saya banyak bergerak menggunakan kereta kalau hendak ke padang sekolah atau berhenti sebentar kalau mengalami lenguh kaki semasa mengajar di dalam kelas,” katanya kepada Sinar Harian.

Tokoh Zinnirah Ar-Rumiyah orang kurang upaya (OKU) Kelantan tahun 2021 tersebut kini berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 di sini.

Menurut Zawati, pihak sekolah dan kementerian sentiasa menjaga kebajikan guru OKU sepertinya dengan menyediakan kemudahan seperti papan tulis yang boleh dilaraskan.

“Apabila tiba giliran saya mengajar, saya akan ubah kedudukan papan tulis supaya selaras dengan ketinggian saya dan dapat menulis pengajaran kepada pelajar.

“Kesemua guru lain dan pelajar sentiasa membantu memudahkan pergerakan saya semasa berada di sekolah,” ujarnya.

Zawati Yusoff
Zawati Yusoff

Zawati berkata, suaminya, Mohammed Zainuddin Derhaman, 46, juga seorang guru OKU sama sepertinya dan mengajar di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Anuar Pulau Melaka, menjadi pendorong kuat untuknya terus bersemangat mencurah bakti kepada masyarakat.

Sambutan Hari Guru yang diraikan setiap 16 Mei bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan golongan pendidik yang menggalas tanggungjawab mendidik tanpa mengira bangsa serta agama termasuk orang kurang upaya (OKU).

Di sebalik mengajar murid-murid OKU, guru itu sendiri juga merupakan golongan istimewa namun semangat juang mereka untuk mengajar tidak pernah luntur malah kekurangan fizikal atau pancaindera bukan menjadi halangan.

Ikuti sambungan kisah jasa bakti guru-guru OKU ini yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan memartabatkan peranan pendidik di negara ini.