Pengundian pemilihan PKR di Pahang bermula hari ini

Ahli PKR cabang Paya Besar membuat semakan nama mereka di kaunter pendaftaran sebelum memulakan proses pengundian di Pusat pengundian Dewan Serbaguna Taman Tas.
Ahli PKR cabang Paya Besar membuat semakan nama mereka di kaunter pendaftaran sebelum memulakan proses pengundian di Pusat pengundian Dewan Serbaguna Taman Tas.
A
A
A

KUANTAN - 14 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pahang mengadakan pengundian secara fizikal pada Ahad bagi pemilihan peringkat cabang parti itu bagi untuk tahun ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengundi sudah berada di pusat pengundian seawal jam 8.30 pagi dan proses terbabit berjalan dengan teratur dan tenang.

Malah, khemah pendaftaran turut dibuka pada jarak 200 meter daripada pusat pengundian.

Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh berkata, proses pengundian berjalan serentak di seluruh Pahang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

"Untuk hari ini, semua pengundian secara fizikal dilakukan di seluruh negeri dan proses pengundian itu dilakukan secara digital.

"Bagi pengundian secara dalam talian pula akan bermula pada 18 hingga 20 Mei ini dan untuk cabang Kuantan lebih 200 pengundi sudah berdaftar," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berharap semua ahli PKR dapat keluar untuk menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan memilih kepimpinan di peringkat negeri dan tertinggi.

Seorang suri rumah, Zaimah Musa, 43, memaklumkan sudah selesai membuat pengundian dan memilih pemimpin yang boleh membawa suara rakyat.

Dia turut menasihatkan agar ahli PKR lain dapat keluar lebih awal untuk mengundi bagi mengelakkan kesesakan.

"Alhamdulillah, saya dah selesai mengundi dan berharap ahli PKR lain dapat datang mengundi," katanya.