X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

'Raikan pengorbanan guru kita'

Pameran daripada sekolah yang terlibat.
A
A

SHAH ALAM - Negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan tahun ini yang berlangsung pada 12 Mei hingga 16 Mei.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, program yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok itu, akan dirasmikan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dengan membawa tema ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ pada Isnin.

Setelah dua tahun sambutan Hari Guru diadakan secara dalam talian susulan penularan wabak Covid-19, maka tahun ini pelbagai aktiviti dianjurkan bagi memberi peluang kepada warga pendidik untuk turut terlibat.

Program kali ini menampilkan 24 kategori anugerah melibatkan hadiah wang tunai daripada pelbagai penaja antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam Malaysia Berhad, Yayasan Guru Malaysia Berhad serta Nestle Products Sdn Bhd.

Antara anugerah yang disediakan adalah Anugerah Utama bagi kategori Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan, manakala Anugerah Khas Pendidikan mempunyai enam kategori, Anugerah Guru Inovatif (lima kategori), Anugerah Guru Cemerlang (enam kategori) dan Anugerah Ikon (lima kategori).

Di samping itu, seramai 25 guru bakal menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonalds dan tiga penerima bagi Anugerah Cikgu Juara Digital.

Selain itu, penganjuran program yang berbentuk festival selama lima hari memberi peluang kepada warga pendidik, pelajar dan masyarakat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Melihat kepada senarai aktiviti yang disediakan, kelainan dalam festival sambutan Hari Guru ini menonjolkan keunikan seni budaya Kelantan seperti dikir barat, gendang, batik dan sebagainya.

Aktiviti melibatkan kanak-kanak.
Aktiviti melibatkan kanak-kanak.

Sebanyak 80 gerai pameran dan gerai jualan disediakan untuk pengunjung menikmati keunikan dan mengalami sendiri pengalaman mendekati profesion perguruan.

Antara aktiviti yang berlangsung pada Sabtu adalah demonstrasi wau dan gasing, persembahan simfoni tradisional, dan pertandingan mewarna prasekolah.

Pada Ahad pula, diadakan kayuhan ceria Hari Guru bersama Mohd Radzi, persembahan keroncong, gendang Cina, sewang Orang Asli serta orkestra daripada pelajar Sekolah Menengah Sains Machang.

Acara kemuncak iaitu Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 akan disempurnakan oleh Mohd Radzi pada jam 10 pagi, Isnin.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program yang telah disediakan sejak Sabtu hingga Isnin ini bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!