Banjir kilat: Segera kerja bersih, dalamkan sungai di Janda Baik

Sebanyak 30 buah keluarga di Kampung Chemperoh dan 12 keluarga di Kampung Sum Sum di Janda Baik terlibat banjir kilat. - Foto Ihsan JBPM
Sebanyak 30 buah keluarga di Kampung Chemperoh dan 12 keluarga di Kampung Sum Sum di Janda Baik terlibat banjir kilat. - Foto Ihsan JBPM
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.

Baginda turut menitahkan agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik.

"Pahang dilanda banjir dua kali, iaitu pada awal dan akhir tahun lalu diikuti beberapa siri kejadian banjir kilat disebabkan hujan yang amat lebat.

"Justeru, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai ini bukan sahaja perlu dilakukan di kawasan Janda Baik malah di semua sungai dan saliran cetek akibat mendapan di seluruh negeri," titah baginda melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Tengku Hassanal bertitah, pelaksanaan kerja-kerja pembersihan semua sungai dan saliran tersebut mesti dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri dan kerajaan

Persekutuan sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini.

Pada 13 Mei lalu, baginda berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di kawasan Janda Baik bagi menghulurkan sumbangan.

Baginda juga turut melawat kawasan banjir dan mendengar persembahan taklimat tentang tindakan susulan segera tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana itu.

"Saya mengambil maklum bahawa hujan lebat luar biasa selama tiga jam bermula jam 4 pagi pada 11 Mei lalu telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Kampung Janda Baik, Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh, dan Kampung Lampin,Bentong," titah baginda.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah