KHM tanggung perbelanjaan 28 pasukan

Anil Jeet
Anil Jeet
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) melalui jawatankuasa pertandingan menetapkan tarikh penganjuran kembali Kejuaraan Hoki Kebangsaan Bawah 16 Tahun (B-16), lelaki dan wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 15 hingga 25 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikutan negara telah memasuki fasa endemik.

"Perkara ini (kejohanan B-16) dipersetujui oleh KPM semalam, iaitu setelah lebih dua tahun kejohanan tersebut tidak diadakan kerana wabak Covid-19.

"KHM menanggung sepenuhnya perbelanjaan bagi 28 pasukan setiap negeri membabitkan 14 pasukan lelaki serta 14 pasukan wanita termasuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu mengharapkan kesemua persatuan hoki negeri supaya menghantar pasukan mewakili negeri masing-masing dalam memastikan kejohanan tersebut berjalan lancar.

"Sudah dapat kelulusan dari KPM jadi saya rasa tiada masalah bagi pihak sekolah untuk melepaskan mereka menyertai kejohanan hoki pada waktu persekolahan," katanya.

Beliau berkata, KHM akan memaklumkan berhubung prosedur operasi standard (SOP) serta format kejohanan secara berperingkat dan buat masa ini syarat ditetapkan termasuk pemain perlu lengkap divaksinasi.

Pada dua tahun lepas, selain kejohanan hoki B-16 pembatalan tersebut turut membabitkan kejohanan hoki B-14 berikutan penularan wabak Covid-19. - Bernama