Pemilihan PKR: Pengundian fizikal di Kelantan, Terengganu selesai

PKR
PKR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengundian secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 yang bermula hari ini (Jumaat) di Kelantan dan Terengganu bagi jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayap, berlangsung dengan lancar dan selesai tepat 5 petang ini.

Tinjauan Bernama di pusat-pusat pengundian di dua negeri itu mendapati, proses pengundian dijalankan dengan teratur dan tenang tanpa sebarang insiden provokasi atau kekecohan.

Di Kelantan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata, pemilihan bermula sejak 9 pagi itu, melibatkan 14 cabang iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh, Machang,Tumpat, Ketereh, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Gua Musang.

"Bagi pemilihan ketua cabang PKR di Kelantan, lima cabang iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Rantau Panjang dan Tumpat telah menang tanpa bertanding termasuk kesemua ahli jawatankuasa.

"Oleh itu, lima cabang ini kini hanya fokus untuk memilih calon yang bertanding bagi peringkat pusat sahaja,” katanya kepada Bernama di pusat pengundian Putera Valley Resort di Tanah Merah di sini, pada Jumaat.

Sementara di Terengganu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu Azan Ismail berkata seramai 25,000 ahli PKR di negeri itu layak mengundi secara fizikal di lapan cabang iaitu Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus dan Marang, yang bermula 8.30 pagi.

"Proses pemilihan berjalan lancar, tiada sebarang kekecohan, berjalan dengan semangat kekeluargaan dan seramai 15 pengawas pemilih ditempatkan di setiap pusat pengundian, serta proses ini juga diperhatikan wakil-wakil calon yang bertanding demi memastikan ketelusannya,” katanya.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pengundian secara fizikal diteruskan esok bagi Kedah dan Johor; Pahang dan Wilayah Persekutuan (Ahad), diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan (16 Mei), manakala Selangor (21 Mei), manakala Perak, Sabah dan Sarawak (22 Mei).

Artikel Berkaitan:

"Pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara akan diadakan 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya, diadakan dari 18 hingga 20 Mei ini melalui aplikasi ADIL yang diperkenalkan pada 28 Feb lepas,” katanya.

Pemilihan PKR yang diadakan secara hibrid buat julung kalinya, menyaksikan jawatan nombor dua parti itu menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden dilantik Rafizi Ramli, bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.

Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding, termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

Saingan mengisi jawatan itu turut melibatkan penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, bekas Ahli Parlimen Kapar G.Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr G.Gunaraj juga akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat pada 22 Mei, sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun. - Bernama