Tindakan kompaun Serba Dinamik adalah wajar: Peguam Negara

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Idrus)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Idrus)
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan mengkompaun Serba Dinamik Holding Berhad (SDHB) dan empat eksekutif tertinggi merupakan keputusan sesuai dan wajar.

Tegas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pihaknya mengambil kira keterangan yang menyokong pertuduhan dan untuk mengelakkan satu perbicaraan yang lama serta berlarutan.

"Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa kepentingan awam adalah lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan empat orang eksekutifnya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut, tindakan punitif terhadap SDHB dapat dicapai dengan serta merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama.

"Selepas itu, SDHB boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa bagi mematuhi keperluan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, AGC juga mendapati bahawa prosiding jenayah terhadap SDHB tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku.

"Impak pertuduhan terhadap SDHB adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang dikatakan dilakukan oleh SDHB," katanya.

Idrus berkata, SDHB sedang berhadapan dengan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerja-pekerja SDHB, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain.

"AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes ini," katanya.

Ujarnya, tindakan itu akan membolehkan SDHB memberi fokus bagi memperbetulkan kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan-peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang sebelum ini, SDHB pernah dan jelas patuhi tanpa kesilapan.

Pada 7 April lalu, jabatan itu telah memberikan izin untuk mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut kepada SC mengikut Seksyen 373 Akta 671.

SDHB pada Khamis mengumumkan bahawa syarikat dan eksekutif tertingginya membuat penyelesaian penuh kompaun yang dikenakan oleh SC.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, pembayaran penuh berkenaan dibuat pada 9 Mei 2022, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16 juta.

SC pada 14 April lalu mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.