Eksekutif rugi RM335,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang eksekutif syarikat kerugian RM335,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan pihak insurans tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, semuanya bermula pada September tahun lalu, selepas mangsa wanita berusia 51 tahun dihubungi oleh individu yang mendakwa dari syarikat insurans.

"Mangsa diberitahu telah membuat pengeluaran wang insurans sebanyak empat kali sedangkan mangsa tidak pernah berbuat demikian.

"Dia kemudian telah dihubungi pula oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai inspektor polis untuk laporan berkenaan akaun insurans tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, inspektor berkenaan telah memberitahu terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Bagi menyelesaikan kes itu katanya, mangsa telah diminta untuk membuka akaun Bank Rakyat dan telah menyerahkan maklumat perbankan dalam taliannya kepada suspek.

"Mangsa yang akur telah memasukkan kesemua wang dari tiga akaun banknya termasuk dari akaun Tabung Haji dan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke dalam akaun Bank Rakyat dengan jumlah keseluruhan RM253,000.

"Mangsa juga turut membuat pinjaman peribadi dengan Bank Islam dan Aeon Kredit yang berjumlah RM82,000 sebelum wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat," katanya.

Aibee berkata, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada Khamis.