AS-Malaysia teruskan kerjasama banteras buruh paksa

Saravanan (tengah) ketika pertemuannya bersama Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith (dua, kiri) dalam lawatan kerja ke Washington.
Saravanan (tengah) ketika pertemuannya bersama Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith (dua, kiri) dalam lawatan kerja ke Washington.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) bersedia meneruskan kerjasama strategik dengan Malaysia dalam membanteras buruh paksa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu dizahirkan Amerika Syarikat (AS) ketika pertemuannya bersama Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith dalam lawatan kerja ke Washington.

Menurutnya, US CBP bersetuju menjalinkan kerjasama menerusi penubuhan jawatankuasa kerja yang akan bertemu setiap tiga bulan.

"Jawatankuasa ini akan memberikan fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Saravanan bersama AnnMarie pada pertemuan itu.
Saravanan bersama AnnMarie pada pertemuan itu.

Beliau berkata, ia termasuklah merangka polisi atau dasar yang dapat menyokong inisiatif negara ke arah membanteras buruh paksa.

"Selain itu, US CBP yang dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung Mei 2022, telah bersetuju untuk mengadakan satu bengkel bersama pemain industri di Malaysia bagi memberikan penerangan mengenai perkara berkaitan dengan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan supaya produk mereka tidak disekat untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat," katanya.

Saravanan berkata, dari aspek kerjasama dengan Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) pula, jabatan itu bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.

Malah katanya, US DOL turut menyarankan agar Malaysia memberikan pendedahan kepada pekerja tentang kepentingan berkesatuan.

"Ini selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai 2022," katanya.

Saravanan berada di Washington bagi menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dari 10 hingga 13 Mei.

Selain AnnMarie, Saravanan turut bertemu Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) US DOL, Thea Lee dalam lawatannya ke Washington.

Ujarnya, lawatan kerja itu juga telah membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa selain menjadi platform bagi Amerika Syarikat untuk lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.

Saravanan turut bertemu Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) US DOL, Thea Lee dalam lawatannya ke Washington.
Saravanan turut bertemu Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) US DOL, Thea Lee dalam lawatannya ke Washington.

"Pada kedua-dua pertemuan ini, saya telah berkongsi inisiatif Kementerian Sumber Manusia dalam menangani hampir keseluruhan indikator buruh paksa yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) seperti penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa berlebihan dan penahanan gaji.

"Namun begitu, indikator perhambaan hutang menjadi satu-satunya cabaran di mana kebanyakan daripada kes berkaitan dengan indikator ini berlaku di negara sumber, tetapi memberikan implikasi negatif kepada negara penerima seperti Malaysia," katanya.