Lori alami masalah brek rempuh sembilan kenderaan

Lima mangsa dilaporkan mengalami cedera ringan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada Khamis.
Lima mangsa dilaporkan mengalami cedera ringan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Sebuah lori yang mengalami masalah brek terbabas sebelum merempuh sembilan kenderaan dalam kejadian di Kilometer (KM) 9 Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), pada Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan pada jam 11.44 malam dari MERS 999.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang membawa muatan getah beku dari Slim River, Perak menghala ke Tampin, Negeri Sembilan yang berada di lorong paling kiri telah mengalami masalah brek.

"Lori terbabit kemudian terbabas lalu merempuh sembilan buah kereta yang berhenti di lorong tengah dan kanan kerana terdapat pembinaan jalan di hadapan.

"Akibat pelanggaran itu, dua penumpang kanak-kanak berusia lima dan 10 tahun dari dua buah kereta masing-masing mengalami cedera di kepala dan patah paha kiri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya menaiki ambulans.

Katanya, sembilan kereta yang terlibat dalam insiden itu adalah jenis Audi, Toyota Vellfire, Perodua Myvi, Nissan Grand Livina, Proton Iriz, Perodua Bezza, Proton Iriz serta Honda City.

Tambahnya, susulan kejadian itu, pemandu lori terbabit telah tampil di balai polis untuk membuat laporan dan memberikan kerjasama yang baik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Ratnacristinavany di talian 017-9074893," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.