Projek mega beri manfaat langsung boleh dipertimbang: Anwar

Anwar (kanan) semasa program Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
Anwar (kanan) semasa program Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Projek-projek mega seperti pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo yang memberi manfaat langsung kepada rakyat boleh dipertimbangkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ia perlu bermula dengan soal integriti.

“Kalau projek itu memberi manfaat langsung pada rakyat bawahan boleh dipertimbangkan. Tetapi ia (mesti) bermula dengan soal integriti. Janganlah kos RM50 bilion jadi RM70 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut, Anwar dalam masa sama turut mengambil contoh mengenai sebuah lagi isu Perwaja Steel yang pernah heboh diperkatakan sebelum ini.

“Sebab itu saya kata, kalau saya tangani masalah Perwaja, (lakukan) forensik audit dan bentangkan (isu ini) di Parlimen.

“Tetapi orang takut. (Takut) disebabkan didedahkan penyelewengan ini.

“Tak berani dibahaskan dan dibentangkan di Parlimen,” tegasnya.