Dua jenazah dibawa ke Masjid USAS

Solat jenazah dua mangsa nahas disempurnakan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS pada Khamis.
Solat jenazah dua mangsa nahas disempurnakan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS pada Khamis.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dua daripada tiga jenazah pelajar yang rentung dalam kemalangan berhampiran Terowong Menora di sini dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar pada Khamis.

Jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dibawa masuk ke dalam masjid berkenaan kira-kira jam 8.30 malam dengan disambut oleh pelajar dan jemaah yang hadir.

Solat jenazah kedua-dua mereka disempurnakan selepas solat Isyak.

Suasana pilu menyelubungi dewan solat utama masjid berkenaan apabila jemaah yang hadir mengerumuni jenazah bagi menatap untuk kali terakhir.

Ahmad Naim Najmi merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dibawa ke Kemaman, Terengganu untuk disemadikan, manakala jenazah Ahmad Akmal yang merupakan pelajar Diploma Kaunseling Islami pula dibawa pulang ke rumahnya di Parit Buntar.

Jenazah kedua-dua mangsa dituntut waris masing-masing.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 malam itu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.

Sinar Harian difahamkan, setakat jam 7 malam, proses bedah siasat ke atas lima mayat berkenaan masih lagi berjalan di Hospital Kuala Kangsar.