Debat Perdana Anwar-Najib: MATIC jadi tumpuan malam ini

Persiapan program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada jam 9 malam Khamis. - FOTO SINAR HARIAN.
Persiapan program Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung pada jam 9 malam Khamis. - FOTO SINAR HARIAN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tumpuan seluruh rakyat Malaysia kini terarah ke Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini malam ini sempena berlangsungnya Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 9 malam.

Situasi terkini di MATIC ketika ini menyaksikan warga media sudah mula hadir sejak jam 6 petang lagi bagi proses pendaftaran dan juga pemeriksaan keselamatan.

Seramai 400 tetamu jemputan terdiri daripada tokoh-tokoh politik, ahli korporat, pakar ekonomi, ahli akademik, mahasiswa dan orang awam yang dijangka memenuhi auditorium juga sudah mula hadir sekitar jam 7 malam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang kelihatan hadir di MATIC.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang kelihatan hadir di MATIC.

Pemeriksaan keselamatan yang ketat dijalankan oleh anggota keselamatan bagi memastikan tiada sebarang objek berbahaya yang dibawa masuk ke auditorium berkenaan.

Debat Perdana antara dua pemimpin berkenaan yang julung kali diadakan ini juga akan dibawakan eksklusif ke kaca televisyen di saluran 501 Astro Awani.

Jutaan penonton juga dijangka mengikuti siaran langsung menerusi portal dan Facebook Sinar Harian, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.

Debat Perdana ini menyentuh dua perkara utama iaitu sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya; serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.