Karnival JaminKerja Perkeso Kelantan tawar 1,000 peluang pekerjaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan akan menganjurkan Karnival JaminKerja di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan pada 4 dan 5 Jun depan.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, karnival tersebut akan membabitkan 20 majikan terdiri daripada syarikat di dalam dan luar Kelantan merangkumi pelbagai sektor dan industri. "Sebelum penganjuran karnival ini, kami telah melakukan kajian kecenderungan sektor yang diminati rakyat Kelantan.

"Kita sasar 2,000 pencari kerja akan hadir pada karnival dua hari itu,” katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perkeso Kelantan di sini hari ini.

Nora berkata, karnival itu terbuka kepada semua individu yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Beliau sehubungan itu berharap pencari kerja terutama siswazah menganggur, orang kurang upaya (OKU) dan golongan B40 merebut peluang berkenaan. - Bernama