Seorang lelaki ditahan bawa 32 PATI dalam lori

Pemeriksaan anggota polis mendapati seramai 32 PATI berada dalam muatan sebuah lori.
Pemeriksaan anggota polis mendapati seramai 32 PATI berada dalam muatan sebuah lori.
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang lelaki membawa 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menggunakan lori terbongkar apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Kapar menahan kenderaan tersebut di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah lori jenis Isuzu pada jam 6 pagi.

"Pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa oleh lori tersebut, kita mendapati seramai 19 lelaki dan 13 wanita berusia 20 hingga 60 tahun.

"Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kesemua migran itu telah masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot pancung.

"Pemandu lori tersebut mendapat upah sebanyak RM1,000, dia disyaki dalam perjalanan dari Klang Utara untuk menghantar PATI itu di sekitar Klang," katanya.

Beliau berkata, kesemua migran tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1c) Akta Imigresen 1959/63.

"Manakala pemandu lori berusia 30-an itu pula ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM ) 2007," jelasnya.

Vijaya Rao meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan migran segera menghiburkan pihak polis untuk tindakan lanjut.