Waspada panggilan telefon pegawai SKMM palsu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawainya dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

SKMM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, peringatan itu dibuat susulan seorang pengadu telah dihubungi individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.

“Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

“Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan SKMM dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak suruhanjaya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, SKMM berkata, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan suruhanjaya lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi iaitu melalui laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial suruhanjaya dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian.

Sehubungan itu, SKMM menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali.

“Pada masa sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan,” katanya.