Unit Felda keluarkan notis jual kepentingan dalam EHP Indonesia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FIC Properties Sdn Bhd (FICP), telah mengeluarkan notis kepada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk melaksanakan hak menjual bagi pelaburan berbaliknya dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP).

FICP, pada Disember 2016, memperoleh 37 peratus saham dalam EHP daripada RCI pada harga AS$505.4 juta; selaras dengan perjanjian pemerolehan, FICP boleh melaksanakan hak menjual untuk pelaburannya dalam dua senario, pertama apabila berlakunya kemungkiran daripada RCI / RC; dan kedua atas budi bicara tunggal dan mutlak FICP menjelang tarikh tamat pilihan, pada 11 Mei 2022.

"Pelaksanaan hak menjual oleh FICP hari ini adalah di bawah senario kedua yang bertujuan melindungi sepenuhnya hak dan kepentingannya. Melalui hak menjual ini, RCI atau RC mesti membeli semula 37 peratus saham daripada FICP pada harga pelaburan AS$505.4 juta, dengan faedah enam peratus setahun mulai 11 Mei, 2017 hingga tarikh pembayaran penuh,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syarikat itu menekankan bahawa pelaksanaan hak menjual oleh FICP hari ini adalah keputusan perniagaan yang berhemat dipacu oleh prinsip tadbir urus korporat yang kukuh.

"Keputusan itu juga berfungsi sebagai salah satu inisiatif untuk mewujudkan model perniagaan yang lebih berkesan dan mampan untuk Kumpulan Felda," tambahnya. - Bernama