Pas tiada masalah teruskan kerjasama dengan UMNO

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR – Pas tetap bersedia dan tidak memiliki sebarang masalah untuk meneruskan kerjasama politik dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas masih berpegang dengan keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura iaitu memperkukuhkan MN dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjelaskan, PAS kekal konsisten dengan perkara ini dan tiada sebarang perubahan.

“PN pun kita mahu, MN pun kita mahu kerana matlamat MN dan PN adalah penyatuan ummah, memperkukuhkan kedudukan politik Melayu dan menyatukanpadukan ummah dalam keadaan cabaran umat Islam makin meningkat.

“Cabaran-cabaran kepada umat Islam ini datang dari pelbagai penjuru dan ‘ubat’ kepada menghadapi semua isu-isu ini ialah memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama di kalangan umat Islam,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi, dari segi politik, PN dan MN dilihat mampu memperkukuhkan perpaduan umat Islam di Malaysia kerana memiliki kepentingan sama.

“PN pun boleh, MN pun boleh kerana kedua-dua ada kepentingan untuk Islam dan Melayu, maka Pas berpegang pada itu dan konsisten dengan keputusan itu,” katanya.

Katanya, Pas tetap mahu mengajak untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan politik orang Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun alasan yang diberikan pihak lain untuk menolak apa-apa gagasan, Pas tetap mengajak untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan mengukuhkan politik orang Islam di negara ini.

“Kuasa politik Melayu mesti dominan berdasarkan komposisi kaum di Malaysia dan sejarah latar belakang negara ini serta kita kena bersatu padu berdepan cabaran masa depan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, perkara lain yang boleh mengganggu gugat usaha menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu patut diketepikan oleh sesiapa pun.

“Tidak kira siapapun, ketepikan kepentingan diri dan peribadi, kelompok atau mazhab ketepikanlah.Marilah kita bersatu padu untuk mengukuhkan kuasa politik umat Islam dan orang Islam.

“PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO.Jikalau UMNO ada masalah, maka mereka perlu selesaikan. PAS memang tidak ada masalah,”katanya.