Atur strategi pilihan raya di peringkat anak muda

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Strategi yang baik perlu diatur di peringkat golongan muda bagi memastikan sesebuah gelombang itu wujud di setiap pilihan raya, kata calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol.

Menurutnya, ia bagi memastikan rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Gelombang itu sangat penting. Bagaimana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) menumbangkan beberapa negeri khususnya Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu mengatur strategi yang baik khususnya di peringkat anak muda untuk memastikan gelombang itu wujud di setiap pilihan raya yang akhirnya memberi mandat kepada PH memerintah negara,” katanya menerusi program ‘Debat Ketua AMK’ yang disiarkan secara langsung di Astro Awani pada Selasa.

Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang lagi calon Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim yang bertanyakan tentang apakah strategi terbaik bagi memulihkan parti terutamanya dalam kegagalan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menambah, antara strategi lain adalah dengan memberi keyakinan kepada rakyat berhubung tanggapan mereka bahawa ahli politik ‘tidak boleh pakai’.

Jelasnya, disebabkan itu beliau bersama-sama calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi kempen Ayuh Anak Muda dan Ayuh Malaysia mengajak kesemua rakyat Malaysia bagi membawa perubahan.